Karya lukisan alam semula jadi

Semenjak abad ke-10 di Asia Timur, gambaran alam semula jadi biasanya merupakan tema ulangan yang disukai oleh kebanyakan artis. Di sebalik seni sejarah ala-Barat, karya seni bertemakan landskap diketepikan awal-awal lagi demi mengutamakan karya seni bertemakan agama dan sejarah.

Ternyata, karya seni landskap mendapat sambutan apabila terdapat artis yang mewujudkan teknik-teknik baharu dalam mencapaikan dimensi dalam karya-karya seni mereka sendiri.

Kebelakangan ini, karya seni landskap jarang didapati dalam seni kontemporari Malaysia kerana pelukis tempatan sekalian memfokuskan karyanya dalam bentuk abstrak dan figuratif.

Dengan pameran The Grass is Greener on this Side yang diadakan di Galeri Core Design bermula 26 Januari hingga 12 Mac depan diharap dapat mengembalikan kecantikan dan kemuliaan landskap semula jadi di mana pelukis tempatan dapat meluahkan pelbagai karya landskap alam semula jadi yang merupakan interpretasi tersendiri, melalui penggunaan medium yang baharu.

Dengan apa yang dipaprkan melalui pameran seperti ini akan dapat menimbulkan perasaan ghairah atas unsur-unsur alam semula jadi di Malaysia yang cukup sempurna. Lebih menarik, ini merupakan kali pertama di Malaysia, Benedetta Segala Ghani memimpin pameran ini sebagai kurator, selain menyumbang, berkongsikan pemahaman dan pengalaman seninya yang mendalam dengan pelukis-pelukis kontemporari tempatan.

Benedetta Segala Ghani merupakan seorang pelukis Itali yang telah mengadakan 12 pameran solonya selain pelbagai penyertaan dalam pameran seni di luar negara terutamanya di Perancis, Itali, Amerika Syarikat dan sebahagian negara Asia.

Benedetta juga menyuarakan pendapatnya terhadap para pelukis yang terlibat dalam pameran kali ini. Jelasnya hasil karya yang dihasilkan oleh pelukis tempatan mempunyai nilai dan gaya seni yang tinggi.

“Karya-karya yang dipamerkan ini cukup unik. Bukan sahaja lukisan bahkan pelbagai lagi karya-karya seni lain seperti arca turut dipamerkan pada kali ini.

“Paling mengejutkan saya ialah hasil seni yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis Malaysia yang mempunyai “nilai serta nyawa” seperti mana hasil-hasil seni yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis terkenal dunia.

Perkembangan serta perjalanan seni di Malaysia semakin ke depan dan tidak mustahil selepas ini bidang seni di negara ini akan setanding dan setaraf dengan kuasa seni dunia yang lain,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bagi pelukis, Raja Lope Rasydi, karyanya kali ini yang berjudul Verticall Horizone merupakan sebuah karya yang mempunyai maksud yang sangat mendalam.

Secara luarannya, karya Raja Lope kali ini juga seperti karya-karyanya sebelum ini yang mengekalkan ciri-ciri futuristik dan tradisi namun diselitkan dengan beberapa karakter tambahan yang perlu dilihat secara halus oleh penggemar lukisan.

“Saya menyelitkan beberapa karakter seperti binatang yang hampir dan telah pupus di dunia. Ini merupakan simbol terhadap karya saya ini yang menyatakan tentang binatang serta unsur alam perlu dijaga oleh sekalian manusia,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengalaman tinggal di kawasan berbukit yang dilalui oleh Shafarin Ghani turut diterjemahkan ke dalam hasil lukisan berjudul Gunung Jerai. Jelasnya pengalaman berada di kawasan tersebut dilakar dan digambarkan melalui karyanya kali ini.

Bagi pelukis muda, Husni Osman dengan karyanya berjudul Kampung Lembah Bena turut menerangkan tentang pengalamannya di sebuah kampung yang kini sudah lenyap akibat pembangunan.

“Saya terjemahkan pengalaman serta nostalgia zaman kanak-kanak sebelum ini di sebuah kampung di Selangor yang kini sudah tiada akibat kesan pembangunan yang dijalankan. Nostalgia tersebut tidak akan kembali lagi kerana kesemuanya telah musnah,” katanya.

Karya arca berjudul Frontier 2015 hasil artis Annabelle Ng juga mempunyai pemahaman yang tersendiri mengenai alam. Karya ini secara kritisnya menerangkan tentang hubungan manusia dan alam semesta.

 

Ditulis oleh: Rasdan Ahmad

Diterbitkan oleh: Mingguan Malaysia – Utusan

Tarikh terbitan: 01hb Mac 2015

 


Comments are closed.