Pameran Abstrak sepanjang zaman

Seramai 15 orang pelukis abstrak terkemuka negara bergabung tenaga bagi menjayakan pameran yang dikenali sebagai Kini dan Dulu.

 

Buat julung-julung kalinya, Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor menggabungkan pelukis-pelukis lama dan baharu dalam satu pameran abstrak.

Pameran yang dikenali sebagai Kini dan Dulu itu menggabungkan seramai 15 orang pelukis lukisan abstrak terkemuka di seluruh negara.

Lukisan abstrak ialah suatu karya yang kelihatannya tidak berbentuk (memiliki bentuk tidak jelas) yang tidak difahami oleh orang lain.

Hanya pelukis dan orang seni yang dapat mengerti makna daripada lukisan abstrak itu.

Antara pelukis-pelukis baharu yang terlibat dalam pameran yang berakhir pada hari ini ialah Suhaimi Fadzir, Annabelle Ng, Fauzin Mustafa dan Faizal Suhil.

Dalam pada itu, Yusof Ghani, Awang Damit, Anuar Rashid, Husin Hourmain, Ali Nurazmal Yusof dan Shafarin Ghani merupakan antara pengkarya hebat abstrak sekitar tahun 1990-an yang turut ambil bahagian.

Salah satu lukisan yang pasti menarik perhatian pengunjung pastinya Patriotic karya Ali Nurazmal.

Hal ini kerana lukisan yang menggunakan medium cat minyak atas kanvas itu melakar beberapa lakar abstrak di atas Jalur Gemilang.

Menurut pelukis berusia 37 tahun itu, lukisan tersebut dihasilkan daripada cantuman tujuh panel yang boleh dialihkan untuk membentuk dua gambaran berbeza iaitu Unity of The Flag and Unity of The Society.

“Saya hasilkan lukisan ini khusus sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-58 Malaysia.

 

Menguji kesabaran

“Sehubungan itu, saya memilih menggunakan Jalur Gemilang dan abstrakkan ekspresi muka serta bentuk badan manusia,” terangnya yang mengambila masa selama enam bulan untuk menghasilkan lukisan bersaiz 183×320 sentimeter.

Antara lukisan menarik lain ialah Samura (Yusof), E.O.C. Hari Kelabu (Awang), Ferguson Story (Suhaimi) dan Self Portraits (Annabelle).

Sementara itu, Husni Osman, 37, yang pertama sekali melukis lukisan abstrak berkata, penghasilan genre berkenaan sangat menguji kesabarannya.

Ujar anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu, beliau mengambil masa lebih tiga bulan untuk menghasilkan karyanya, Lubuk Tiga Beradik.

“Baru saya tahu, penghasilan lukisan abstrak ini lebih mencabar daripada karya-karya lain.

“Cabaran itu adalan untuk memastikan ia betul-betul abstrak iaitu pemerhati tidak dalam memahami maksud yang cuba disampaikan oleh pelukis,” cerita pelukis yang masih belum berumahtangga itu.

Berbicara mengenai karya yang bersaiz 168x213cm itu, Husni memaklumkan, dia cuba menggambarkan suasana persekitaran Air Terjun Lubuk Tiga Beradik di Kulim, Kedah.

Ujarnya, ketika berkunjung ke tempat rekreasi itu, beliau cukup tertarik dengan kisah-kisah mitos yang diceritakan oleh penduduk sekitar mengenai lubuk tersebut, sekali gus memberi ilham kepadanya menghasilkan karya berkenaan. Warna putih mewakili air terjun, jingga (tanah) dan hijau (pokok-pokok).

“Saya dengar pelbagai cerita mengenai lubuk itu terutamanya berkaitan alam mistik. Ia satu yang unik jika dapat menterjemah dalam sebuah karya abstrak,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pameran Kini dan Dulu, orang ramai boleh menghubungi talian 03-56121168 atau laman web, malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com.

 

 

Ditulis oleh: Mohd. Shazwan Yusop

Diterbitkan oleh: Varia – Kosmo! 2, Kosmo

Tarikh Terbitan: 31hb Ogos 2015

 


Comments are closed.