Pameran Kepelbagaian dan Irama Empat Musim

Galeri Core Design yang ditubuhkan pada tahun 2010, pernah melancarkan projek Great Malaysia Contemporary Art (GMCA) di Art Expo Malaysia 2013, manakala edisi kedua GMCA pula diadakan pada tahun seterusnya.

Kedua-dua pameran ini boleh dikatakan amat berjaya dan membuktikan pada orang ramai bahawa seniman kontemporari Malaysia sememangnya berkebolehan untuk menghasilkan karya yang menarik, provokatif dan berkualiti, tidak kira dalam bentuk catan, instalasi mahupun arca.

Tahun ini, Galeri Core Design memperkenalkan pendekatan yang baharu untuk Art Expo Malaysia Plus 2015, dengan membawakan pameran berjudul Reason 4 Season. Pameran ini akan diadakan pada 10 September sehingga 13 September ini di Art Expo Plus, Matrade, Kuala Lumpur.

Pada setiap hari pameran tersebut diadakan, karya-karya akan menuruti palet warna yang spesifik, sama ada pastel, warna terang, warna tanah, atau hitam putih, untuk menimbulkan suasana empat musim iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk.

Reason 4 Season menimba ilmu daripada karakter dan irama musim-musim yang melahirkan emosi berlainan, serta peralihan dari musim ke musim yang menggambarkan kitaran hidup, dari bualan hingga ke liang kubur.

Tempoh pameran karya yang singkat disebabkan pertukaran karya pada setiap hari Art Expo turut mencerminkan kesingkatan saat-saat yang bererti dalam hidup ini di mana setiap kehidupan yang diberikan oleh Pencipta perlulah diabadikan sepenuhnya.

Selain menghasilkan landskap yang dinamik di lokasi pameran, skima warna yang beraneka juga membolehkan para pengunjung melihat keperibadian artis dari pelbagai sudut pandang, dengan setiap artis menyampaikan interpretasi tema berkenaan.

Bukan itu sahaja, dalam pameran Reason 4 Season, artis-artis dapat meneroka dan mencuba pelbagai teknik antaranya penggunaan teknik dan palet warna yang jarang digunakan.

 

Kemahiran

Contohnya, artis yang biasanya menggunakan warna-warna yang terang dapat menonjolkan kemahiran beliau melalui warna greyscale, manakala artis yang terkenal dalam tema warna yang lebih gelap dapat menyertakan warna cerah melalui penghasilan karyanya.

Artis yang menyertai pameran ini termasuk Ali Nurazmal Yusoff, Fauzin Mustafa, Haafiz Shahimi, Husin Hourmain, Husin Othman, Husni Osman, Raja Lope Rasydi Raja Rozlan, Shafarin Ghani dan Suhaimi Fadzir.

Pameran ini boleh dikatakan antara pameran yang jarang diketengahkan sebelum ini. Karya-karya melalui pameran ini mempunyai hubung kaitnya dengan unsur alam yang masih lagi belum diteroka sepenuhnya oleh manusia. Unsur alam ini telah diterjemahkan dengan sebaik-baik mungkin melalui karya-karya hebat pelukis-pelukis tempatan yang mengabadikan diri mereka sehingga terhasilkan karya hebat seumpama ini.

Walaupun negara kita tidak mengalami empat musim tersebut namun setiap penghasilan karya-karya ini membuatkan kita semakin dekat dan turut dapat merasakan empat musim tersebut.

 

 

Ditulis Oleh: Rasdan Ahmad

Diterbitkan Oleh: Mingguan Malaysia, Utusan

Tarikh Terbitan: 06hb September 2015.

 


Comments are closed.