Kelainan pameran empat musim

Setiap kali Art Expo Plus Malaysia berlangsung, para penggemar seni tempatan pasti ternanti-nanti karya terbaharu yang akan ditonjolkan setiap galeri mengambil bahagian.

Art Expo Plus Malaysia merupakan pameran seni visual paling berprestij di negara ini.

Sebanyak 70 buah galeri dari dalam dan luar negara mengambil bahagian serta kira-kira 2,000 keping karya seni termasuk lukisan, ukiran, pemasangan dan fotografi dipamerkan.

Sempena penganjuran pada bulan lalu, Galeri Core Design di Subang Jaya, Selangor membuat satu kejutan dengan membawakan pameran berjudul Reason 4 Season.

Menerusi judul Reason 4 Season, setiap artis perlu menghasilkan karya-karya mengikut palet warna yang spesifik sama ada pastel, warna terang, warna tanah atau hitam putih bagi menimbulkan suasana empat musim iaitu panas, sejuk, bunga dan luruh.

Seramai 10 orang artis menyertai pameran itu antaranya, Ali Nurazmal Yusoff, Fauzan Mustafa, Haafiz Shahimi, Raja Lipe Rasydi, Husin Osman dan Shafarin Ghani.

Antara karya yang berjaya menarik perhatian pengunjung sepanjang empat hari pameran itu ialah Fana II, White, SubhanAllah, The Fall of Time dan Gynandromorph.

Judul pameran Reason 4 Season boleh dikatakan jarang diketengahkan oleh galeri di Malaysia sebelum ini kerana negara ini tidak mengalami empat musim.

Salah seorang artis yang terlibat, Ali Nurazmal, 35, berkata, dia amat teruja kerana pihak Galeri Core Design menjemputnya menyertai pameran itu.

 

Tema warna

Ujar anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu, bagi memenuhi judul tersebut, dia telah menghasilkan empat buah karya iaitu Ralik untuk musim luruh, Absorb (sejuk), Adapt (panas) dan Adopt (bunga).

“Menghasilkan karya mengikut tema diberi lebih mencabar kerana perlu bermain dengan warna-warna yang jarang saya gunakan seperti biru, hitam dan putih bagi menimbulkan mood musim sejuk dan luruh.

“Ini kerana kebanyakan karya saya sebelum ini lebih banyak menggunakan warna terang seperti merah dan jingga,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! pada Art Expo Plus 2015, Matrade, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai karya bertajuk Ralik, Ali Nurazmal memaklumka, lukisan itu menggambarkan pergerakan seorang wanita yang sedang menari tarian tradisional.

Katanya, kelembutan gerak tari wanita itu pasti membuatkan setiap mata yang memandang terpesona dan asyik. Perasaan asyik itu merupakan simbolik kepada fenomena ketagihan masyarakat dewasa ini terhadap laman sosial.

“Ralik merupakan loghat masyarakat di utara tanah air yang bermaksud asyik. Saya cuba mengaitkan keasyikan menonton tarian pada zaman dahulu dengan laman sosial ketika ini.

“Kedua-duanya berjaya membuatkan masyarakat lalai sehingga mereka lupa kepada tanggungjawab sebagai seorang manusia,” katanya yang mengambil masa selama sebulan bagi menyiapkan lukisan cat minyak itu.

 

 

Ditulis oleh: Mohd. Shazwan Yusop

Terbitan: Varia – Kosmo 2, Kosmo

Tarikh Terbitan: 19hb Oktober 2015.

 

 

 


Comments are closed.