Sensitiviti warnai kanvas 4 musim

>>Reason 4 Season tampilkan karya sembilan pelukis, serlah transisi alam.

 

Transisi musim panas, sejuk, luruh dan bunga yang hadir dalam karakter tersendiri dijelmakan dalam catan pada Pameran Reason 4 Season yang berlangsung di Galeri Core Design, Subang Jaya sehingga 15 Oktober ini.

Pameran yang mencabar kreativiti sembilan artis, iaitu Ali Nurazmal Yusoff, Fauzin Mustafa, Haafiz Shahimi, Husin Hourmain, Husin Othman, Husni Osman, Raja Lope Rasydi Raja Rozlan, Shafarin Ghani dan Suhaimi Fadzir itu, memberikan sentuhan tersendiri melalui permainan warna, teknik dan penceritaan.

 

Simbolik sentuhan warna pastel

Sentuhan itu dapat dilihat pada karya Haafiz yang berjudul The Tale of Gynandromorph yang menggunakan bahanatara cat minyak di atas kanvas dengan memilih musim bunga menerusi simbolik sentuhan warna pastel.

“Karya ini diinspirasikan daripada kejadian Gynandromorph dalam bahasa Yunani dan digunakan dalam bidang entomologi, iaitu gyne mewakili wanita dan andro bagi lelaki.

“Ia bermaksud satu organisma yang mengandungi kedua-dua ciri lelaki dan perempuan. Proses penghasilannya pula menerusi teknik bakaran secara berlapis-lapis dengan minyak petrol berfungsi sebagai bahan bakar bagi membentuk imej dikehendaki,” katanya kepada Galeri BH di Galeri Core Design, baru-baru ini.

 

Mesej kemanusiaan, diskriminasi

Mesej kemanusiaan mewakili masyarakat kulit hitam yang terus didiskriminasi pula disampaikan dalam instalasi bertajuk Ferguson: For the People dan Ferguson Story dengan menggunakan peralatan memasak seperti periuk serta kuali sebagai simbol utama.

“Karya ini dihasilkan pada tahun lalu ketika berpeluang berada di Amerika Syarikat (AS) yang ketika itu saya terbabit untuk satu pameran.

“Kebetulan pada masa sama berlaku rusuhan besar di Ferguson, Missouri yang berpunca daripada ketidakpuasan hati masyarakat kulit hitam kerana dianaktirikan oleh pihak polis berkulit putih.

 

Kuali simbol penderitaan

“Saya lihat masalah besar yang mereka hadapi ialah ketiadaan pekerjaan, sekali gus mendorong saya untuk menjadikan objek seperti periuk dan kuali sebagai simbol yang melambangkan penderitaan mereka yang kelaparan dan kehidupan seharian yang terjejas kerana tiada mata pencarian,” katanya.

Antara karya lain yang turut ditampilkan termasuk Hidup Ini Bagaikan Roda oleh Husni; Absorb (Ali Nurazmal), Pa (Husin) dan Fractal (Shafarin).

 

 

Ditulis Oleh: Latifah Arifin

Terbitan Oleh: BH 2, Berita Harian

Tarikh Terbitan: 02hb Oktober 2015.

 


Comments are closed.