Karya tanpa kanvas

Galeri Core Design cukup dikenali sebagai wadah yang menyediakan pelbagai bentuk karya sama ada lukisan, arca, ukiran, instalasi mahupun campuran media.

Bakal tampil dengan pameran terbaharu, X Canvas pada pertengahan November ini, ia cuba menyampaikan ekspresi artis kontemporari Malaysia daripada pelbagai latar belakang pengkhususan tetapi tidak menggunakan cat atau kanvas.

X Canvas didefinisikan sebagai tanpa kanvas yang merujuk kepada penghasilan karya yang tidak menggunakan cat pada kanvas.

Ia juga boleh menggambarkan cubaan para artis yang awalnya menggunakan cat dan kanvas untuk menghasilkan buah tangan tanpa menggunakan kedua-dua elemen itu.

Antara artis yang bakal mempersembahkan karya untuk pameran X Canvas ialah Al-Khuzairie Ali, Ali Nurazmal Yusoff, Anniketyni Madian, Ashriq Suddin, Azrin Mohd., Faizal Suhif, Haafiz Shahimi, Masnoor Ramli, Nor Tijan Firdaus Abu Bakar dan Raja Lope Rasydi Raja Rozlan.

Al-Khuzairie, anak jati Kuantan, Pahang yang menghasilkan satu karya untuk pameran itu memberitahu, dia memilih seramik dan komponen mekanikal bagi menterjemahkan karya yang diberi tajuk X-Animale.

Katanya, karya berkenaan menceritakan tentang spesies harimau yang hampir pupus ekoran perbuatan manusia sendiri.

“Manusia sebenarnya penyebab kepada ketidakseimbangan ekosistem yang berlaku kini. Saya mengambil harimau sebagai contoh haiwan yang terancam kerana ia begitu dekat dengan Malaysia. Harimau dijadikan maskot untuk Harimau Malaya.

“Karya saya cuba menggabungkan seramik untuk menghasilkan tengkorak haiwan dan manusia yang digabungkan selain penggunaan gear untuk melengkapkannya,” terang Al-Khuzairie memberitahu penggunaan gear merujuk kepada ekosistem alam.

 

Kritikal sosial

Berpengalaman selama tujuh tahun sebagai artis sepenuh masa, dia pernah menyertai pameran peringkat antarabangsa di London dan Jepun. Dia membawa karya-karya berunsur seramik dan bahan mekanikal.

Lulusan dalam bidang seramik dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu menjelaskan, dia gemar memilih tema berunsur kritikal sosial untuk diterjemahkan kepada awam.

Nor Tijan pula menggunakan bahan-bahan terpakai untuk dijadikan karya yang diberi nama Untitled Note.

Jelasnya, buah tangannya bertemakan alam sekitar, kepenggunaan dan ekonomi.

“Semua benda yang dibuang pada awalnya bernilai dan bermula dengan duit.

“Bahan buangan ini juga boleh menjadi faktor kemusnahan alam jika dibiarkan begitu sahaja,” ujar anak kelahiran Klang, Selangor itu yang gemar membuat arca.

 

 

Ditulis Oleh: Kasanabilah Kamarul Zaman

Diterbitkan Oleh: Kosmo 2 – Kosmo

Tarikh Terbitan: 09hb November 2015.

 

 


Comments are closed.