Karya Tanpa Kanvas

9 artis diberi cabaran keluar dari zon selesa

 

Seni kontemporari antara satu saluran bebas buat karyawan bermain dengan kreativiti dan ekspresi tanpa batas.

Dari kesinambungan itu pameran berjudul X Canvas berlangsung di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor menampilkan sembilan artis dengan luahan seni masing-masing menggunakan medium yang berbeza.

X Canvas adalah perlambangan kepada terma tiada kanvas yang membawa maksud semua hasil karya yang dipamerkan tidak langsung membabitkan seni lukisan di atas kanvas.

Setiap artis diberi cabaran untuk keluar dari zon selesa mereka dengan melakukan sesuatu berbeza dari kebiasaan.

Artis terbabit adalah Al-Khuzairie Ali, Ali Nurazmal Yusoff, Faizal Suhif, Haafiz Shahimi, Jamil Zakaria, Masnoor Ramli Mahmud, Nor Tijan Firdaus, Ashriq Sudin dan Raja Lope Rasydi.

Hasil kerja kompleks Nor Tijan Firdaus berjudul ‘Untitled’ menggunakan barang terpakai untuk membentuk wang kertas satu ringgit antara yang cukup menarik perhatian di pameran ini.

Menurutnya, dia mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan hasil karya ini dan hampir semua barang terpakai yang digunakan adalah daripada koleksinya sendiri.

“Saya mengangkat isu konsumerisme dan atas alasan itu juga saya menggunakan bahan terbuang sebagai medium utama membentuk wang satu ringgit,” katanya.

Bagi Ashriq Sudin pula, dia menggunakan medium benang dalam karyanya berjudul Indah Khabar Dari Rupa yang menampilkan figura tengkorak manusia dalam permainan hitam dan putih.

Menurut Ashriq, kali pertama dia bereksperimen menggunakan benang kerana sebelum ini lebih suka menggunakan dakwat Cina dalam lakaran kanvasnya.

“Saya mengambil konsep kolaj dan menyiapkannya dalam masa lebih sebulan kerana ia antara pengalaman baru untuk bereksperimen menggunakan benang,” katanya.

Beberapa karya lain yang turut menarik perhatian adalah Si Kuda Hitam oleh Jamil Zakaria, The Reminder: A Sign from Destruction (Haafiz), X-Animale (Al-Khuzairie) dan ‘R’ Evo oleh Ali.

Pameran berkenaan dirasmikan pada 28 November lalu, berlangsung hingga 15 Januari tahun depan dibuka kepada orang rang ramai secara percuma, setiap Isnin hingga Jumaat.

 

 

Ditulis Oleh: Mohd Hafizan Mohd Rajab

Diterbitkan Oleh: Harian Metro – Nuansa

Tarikh Terbitan: 18hb Disember 2015

 


Comments are closed.