Karya ReAlism di pentas Art Stage

Setiap tahun, para penggiat seni kontemporari di Asia Tenggara pasti ternanti-nanti pameran Art Stage yang diadakan di Marina Bay Sands, Singapura.

Pameran yang berlangsung pada setiap bulan Januari sejak tahun 2010 itu merupakan satu-satunya pameran bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan kepada kesenian di rantau ini.

Setiap tahun dianggarkan lebih 1,000 artis mewakili 158 galeri dari seluruh dunia menyertai pameran tersebut. Tidak kecuali galeri dan artis dari Malaysia.

Salah sebuah galeri tempatan yang akan menyertai pameran bermula dari 21 hingga 24 Januari ini ialah Core Design, Subang Jaya, Selangor menerusi karya Ali Nurazmal Yusoff.

Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang berusia 38 tahun itu bakal mempamerkan tiga buah karya terbaharunya iaitu Push Button, Ralik 2 dan Resurrection. Ketiga-tiga karya tersebut dikenali sebagai ReAlism.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai pameran di luar negara. Ia satu peluang keemasan untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa selepas hampir 20 tahun aktif dalam bidang seni.

“Art Stage merupakan sebuah pameran yang hebat. Tidak ramai artis Malaysia yang terpilih untuk mempamerkan karya mereka dalam pameran ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

 

Kehidupan masyarakat

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, menerusi ReAlism, dia menterjemahkan perkembangan industri seni Malaysia dari era 70-an sehingga hari ini daripada kaca matanya.

Selain itu, Ali Nurazmal turut menyelitkan unsur-unsur Malaysia dalam karyanya seperti kehidupan masyarakat berbilang kaum, bersistematik dan fleksibiliti penduduk.

“Saya menyertai pameran ini bukan hanya mewakili diri sendiri atau galeri sebaliknya nama Malaysia. Jadi, saya cuba menyelitkan nilai-nilai Malaysia dalam karya ReAlism.

“Menerusi karya ini, saya harap pengunjung Art Stage mendapat gambaran ringkas mengenai sejarah perjalanan seni kontemporari di Malaysia,” ujarnya sambil memaklumkan ketiga-tiga karya tersebut dihasilkan menggunakan medium cat minyak.

Bercerita lanjut mengenai Push Button, Ali Nurazmal memaklumkan, lukisan berukuran 229×153 sentimeter itu menggambarkan situasi seorang lelaki yang sedang menghisap rokok sambil jarinya cuba menekan satu butang.

Jelasnya, melalui lukisan tersebut, dia ingin memberi mesej kepada penonton bahawa setiap perubahan yang ingin dilakukan perlu bermula dengan tindakan.

“Lukisan ini cukup istimewa kerana subjek utama merupakan diri saya. Ia juga mempunyai mesej yang cukup jelas,” ulasnya mengenai karya seni abstrak itu.

 

 

Terbitan: Kosmo K2

Tarikh Terbitan: 18hb Januari 2016

 

 

 


Comments are closed.