Legasi karya terbaik Grande III

Menyorot kejayaan dua siri pameran Grande musim terdahulu, Galeri Core Design di Subang Jaya, Selangor meneruskan kesinambungan untuk mengetengahkan artis kontemporari kritikal daripada pelbagai genre menerusi penganjuran Grande III.

Sesuai dengan namanya, akronim Grande atau nama lengkapnya Great Art and Design mengetengahkan karya yang dianggap paling menyerlah dan menonjol musim ini. Pada masa yang sama, ia berupaya memprovokasi pemikiran khalayak ketika mentafsir sesuatu karya.

Menurut Pengarah Galeri Core Design, Scarlette Lee, penganjuran Grande saban tahun memperlihatkan kegigihan artis mencabar kesederhanaan dan keluar daripada kotak kelaziman mereka dalam proses melahirkan sesuatu idea.

Tambahnya, pameran itu tidak lari daripada mengangkat tema kemasyarakatan, sosial, kerohanian dan alam sekitar dengan menggambarkan pelbagai budaya serta ideologi di Malaysia.

“Kalau diperhatikan, kesemua 11 karya hasil buah tangan 11 orang artis berbakat tempatan ini sama ada yang pernah menyertai kami atau baru pertama kali, mempunyai kekuatan dan mampu berdiri sendiri.

“Pendek kata, kesemuanya adalah karya utama kerana masing-masing mampu menyerlah dan mencuri tumpuan khalayak dengan gaya penyampaian tersendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Barisan artis yang mewarnai Grande kali ini ialah Al-Khuzairie Ali, Ali Nurazmal Yusoff, Anniketyni Madian, Faizal Suhif, Haafiz Shahimi, Haslin Ismail, Husin Hourmain, Husin Othman, Husni Osman, Masnoor Ramli dan Suhaimi Fadzir.

 

Duniawi

Karya yang bertajuk Life of Gamble oleh Husin Othman, 29, yang menggunakan subjek figuratif dilihat memberi impak secara halus sungguhpun lukisan akriliknya begitu minimalis.

“Saya selesa menggunakan watak manusia dalam penceritaan lukisan saya. Ia menggambarkan dua remaja lelaki yang mungkin anak orang kaya kalau dilihat daripada aspek penampilan dan mereka kelihatan sedang asyik bermain mesin tikam di arked.

“Bagi saya, lukisan ini adalah representasi masyarakat materialistik yang saya perincikan mood mereka dengan warna-warna keemasan sebagai lambang kemewahan,” ujar pemenang Anugerah UOB Painting of the Year 2014 bagi kategori artis harapan terbaik itu.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia sengaja tidak menunjukkan ekspresi wajah subjek lukisannya.

Katanya, kedua-dua remaja itu boleh jadi sedang ketawa atau mungkin marah dan bersedih sesuai dengan kehidupan kaki judi yang tidak menentu.

Bagi Haslin Ismail, 32, karya 3D bertajuk Out of the Silent menggunakan teknik ukiran dan potong tampal itu mengimbau semula kenangan menghasilkan kolaj serta ukiran kadbod yang begitu digemarinya ketika zaman kanak-kanak.

“Namun, ia lebih kompleks seiring perjalanan karier saya. Karya ini sebenarnya dihasilkan daripada novel dan buku-buku cerita fiksyen serta fantasi kegemaran saya. Seperti kisah yang terkandung dalam buku, ia penuh karakter mistik.

“Karya ini juga saya dedikasikan kepada pokok. Tajuknya digambarkan dengan sifat pokok yang senyap tetapi besar jasanya kepada alam,” kata anak kelahiran Muar, Johor itu.

 

 

Ditulis oleh: Siti Aminah Mohd. Yusof

Foto oleh: Shiddieqiin Zon

Diterbitkan oleh: Kosmo 2, Kosmo

Tarikh Terbitan: 23hb Mei 2016

 

 


Comments are closed.