20 koleksi selama Dua Dekad

Buat julung-julung kalinya, Galeri Core Design mengadakan pameran seni figuratif yang mempersembahkan karya-karya seni kontemporari Malaysia.

Pameran yang dikenali sebagai Debunking The Myth merupakan koleksi karya seni pasangan suami isteri, Farouk Khan dan Aliya Akbar.

Melalui pameran ini, orang ramai berpeluang meneroka karya-karya seni figuratif daripada pelukis terkemuka yang menjadi koleksi pasangan tersebut.

Menurut Farouk Khan, karya-karya itu merupakan sebahagian daripada 1,000 koleksi simpanannya yang dikumpulkan sejak dua dekad lalu.

“Untuk pameran ini, saya membawa hampir 20 koleksi simpanan saya membabitkan pelukis-pelukis seni figuratif tempatan yang jarang dilihat umum,” jelasnya.

“Pameran ini mengfokuskan peranan figuratif dalam perkembangan seni kontemporari Malaysia yang kurang diceburi oleh artis seni tempatan,” jelasnya.

Menurutnya, setiap karya disertakan esei pendek yang menceritakan tentatng maksud karya tersebut.

Ia sekali gus memberi peluang kepada masyarakat umum untuk melihat perkembangan genre figuratif dalam seni kontemporari Malaysia dari tahun 1980-an hingga 1990-an ke abad ke-21.

Dalam pameran itu, pengunjung dapat melihat penampilan figuratif yang sempurna dan realistik seperti karya-karya Ahmad Fuad Osman, Eng Hwee Chu, Ali Nurazmal Yusoff dan Fadli Yusoff.

Artis lain seperti Yusof Ghani, Anthonie Chong dan Shooshie Sulaiman menampilkan seni figuratif masing-masing melalui karya mereka yang bersifatkan ekspresionis.

 

Potret

Bagi Anthonie, karyanya yang menjadi koleksi simpanan pasangan suami isteri tersebut adalah satu daripada siri Mime yang dihasilkannya pada tahun 1990-an.

“Siri Mime lebih kepada potret yang menggambarkan perasaan rakan-rakan saya daripada kaum Cina di Indonesia yang menceritakan kehidupan mereka yang ditindas pada waktu itu. Saya terjemahkan perasaan mereka dalam bentuk potret,” jelasnya.

Tambahnya, dia menggunakan cat minyak yang dilakarkan di atas kanvas bagi menterjemahkan perasaan tersebut dalam bentuk potret.

Sementara itu, karya Hijab Nurbaya Series oleh Hasnul J Saidon menonjolkan kemahirannya untuk menggabungkan sifat realis dengan ekspresionis. Ia digambarkan menerusi sepasang tangan sempurna yang dilukis secara timbul berlatarbelakangkan sesuatu yang abstrak.

Pameran itu turut merangkumi karya-karya mengeksperimentasikan pelbagai medium seperti karya Ahmad Shukri Mohamed iaitu 1990 Hope Dishonest Series dan Hamir Soib, 2008 Nafsu Nafsi yang dihasilkan dengan bitumen, satu medium sulit untuk dilaksanakan.

Beberapa karya bertemakan alam nyata turut dipamerkan membabitkan artis, Tan Chin Kuan yang terkenal dalam seni kontemporari Malaysia melalui karya instalasi.

Artis Masnoor Ramli Mahmud melalui karyanya, Pada Suatu Masa yang dihasilkan dalam tahun 1996, menonjolkan suatu keperibadian dan kemahiran yang lebih bersifat ekspresionis.

“Karya Pada Suatu Masa ini merupakan lukisan menggambarkan coretan perjalanan saya dalam bidang seni sekitar tahun 1996.

“Ia menceritakan kesukaran saya bergelar anak seni dan meneruskan apa yang saya belajar, terutamanya dalam bidang seni visual,” katanya yang mengambil masa agak lama bagi menyempurnakan karya tersebut.

 

 

Ditulis Oleh: Farid Ahmad Tarmiji

Diterbitkan Oleh: K2, Kosmo

Tarikh Terbitan: 05hb September 2016.

 


Comments are closed.