Gabungan Mantap Faizal, Haafiz

Karya seni halus daripada medium cetakan agak kurang mendapat perhatian berbanding bentuk seni lain seperti lukisan dan ukiran.

Namun, peminggiran itulah mendorong dua artis muda ini menghasilkan seni percetakan unik yang memprovokasi serta mengejutkan penonton.

Pameran ‘Faizal v Haafiz’ yang kini sedang berlangsung di Galeri Core Design, Subang Jaya mencabar batasan seni cetak konvensional dengan memaparkan karya yang menggunakan pelbagai ekspresi, teknik dan medium.

Pameran turut digambarkan sebagai pertarungan hebat antara dua artis ‘maverick’, Faizal Suhif dan Haafiz Shahimi.

Kedua-dua artis tertumpu pada unsur dualiti seperti soalan dan jawapan, kitaran hidup dan mati serta penciptaan dan pemusnahan.

Walaupun kedua-duanya memiliki kekuatan dan identiti tersendiri, terserlah keharmonian dalam perbezaan kerja tangan dalam satu ruang galeri.

Faizal dikenali dengan pencaturan bijak dalam penggunaan tekstur dari alam semula jadi dan sekelilingnya seperti tanah, kulit kayu serta simen pecah sebagai blok untuk mencetak.

Anak lahir kelahiran Muar, Johor itu berkata, dia turut menggunakan warna dari alam semula jadi dengan mengambil tanah atau daun pokok untuk dapatkan rona asli dicampur dengan warna industri untuk berikan kesan diingini.

“Saya suka alam semula jadi malah studio saya juga bertempat di sebuah kebun.

“Bagi saya, lebih dekat dengan alam semula jadi lebih mudah untuk mencari inspirasi kerana saya sukakan ketenangan apabila berkarya,” katanya.

Berbeza dengan Haafiz, dia lebih dikenali dengan ‘menjinakkan’ api dalam penghasilan karyanya dan menjadi perintis dalam seni pirografi iaitu memanipulasi api dan kepingan logam untuk menghasilkan karya di atas kanvas.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, pameran kali ini sedikit berbeza daripada yang sebelumnya kerana seni yang dihasilkan dilihat lebih tenang dan kurang agresif.

“Sedikit berbeza untuk pameran kali ini kerana penghasilan karya agak tenang dan tidak agresif seperti sebelumnya.

“Kebanyakan karya untuk pameran duet ini lebih inovatif terutama daripada pemilihan subjek, proses dan medium tapi identiti masih kekal sama.

“Saya memilih subjek serangga kerana berkait dengan kajian sebelum ini iaitu meminjam karakter makhluk itu untuk menonjolkan sifat manusia,” katanya.

Lebih menarik, pameran duet ‘Faizal v Haafiz’ itu turut menampilkan satu karya utama berjudul ‘Ingatlah Pada Dosa Kita Yang Pertama’ sentuhan kepakaran Faizal dan Haafiz dalam satu kanvas.

Bagi pengggemar seni yang ingin melihat dan menghayati hasil mereka, pameran berlangsung sehingga 30 November ini dan masuk adalah percuma.

 

 

Ditulis oleh: Nor Hanisah Kamaruzaman

Terbitan: Harian Metro

Tarikh Terbitan: 16hb November 2016

 


Comments are closed.