Kemunculan semula Fauzin Mustafa

Dalam usaha memartabatkan bidang seni lukis di negara ini, Galeri Core sekali lagi mengorak langkah dengan mengadakan beberapa pameran untuk memperkenalkan hasil-hasil karya pelukis tempatan kepada masyarakat umum.

Usaha yang dilakukan oleh Galeri Core sedikit sebanyak memberi ruang dan peluang kepada artis seni tempatan untuk terus berkarya.

Selaras dengan matlamat itu, Galeri Core mengadakan pameran solo berjudul Life Between the Dots yang menampilkan hasil karya salah seorang artis kontemporari Malaysia iaitu Fauzin Mustafa.

Bagi pameran solo ini, Fauzin meneruskan konsep dan seni karyanya ke tahap yang baharu.

Jika dilihat pada karya tersebut, dia menunjukkan kematangan yang nyata dan mendalam berbanding pada tahun-tahun awal penglibatan dalam bidang seni.

Hasil karya yang dihasilkan untuk pameran itu mempamerkan pelbagai warna yang monokromatik dengan titik-titik emas yang menarik umpama galaksi bintang di atas satu karya seni.

“Ini merupakan pameran solo ketiga saya dalam tempoh 15 tahun selepas kali terakhir mengadakan pameran solo pada 2001.

“Untuk pameran kali ini, sebanyak 17 hasil karya dipersembahkan,” kata Fauzin.

Jelas Fauzin, dia gembira dan teruja apabila Galeri Core menyuarakan hasrat untuk mengadakan pameran solo khas buatnya lebih dua tahun lalu.

Setelah persetujuan kedua-dua belah dicapai, Fauzin mengambil masa lebih dua tahun untuk menyiapkan hasil karyanya itu.

 

Masa yang sesuai

“Saya mula menjadi artis seni sepenuh masa setelah berhenti kerja di salah sebuah syarikat swasta pada 2008.

“Dengan peluang yang diberikan, saya berasakan ini adalah masa yang sesuai untuk membuat kemunculan semula dalam bidang seni ini setelah lama tidak mengadakan pameran solo,” tuturnya.

Fauzin berkata, dia menggunakan medium campuran untuk menghasilkan karya tersebut iaitu potongan kanvas, akrilik, cat minyak dan bitumen.

“Kebiasaannya, saya akan menyiapkan dua atau tiga lukisan dalam satu masa manakala tempoh untuk menyiapkan sesuatu lukisan mengambil masa selama sebulan.

“Proses untuk menghasilkan lukisan itu sedikit rumit kerana terutamanya dalam mencari idea. Pada masa yang sama, saya perlu mengenal pasti bahan-bahan yang akan digunakan betul-betul kering semasa ia dihasilkan.

Kesemua hasil karya Fauzin menceritakan tentang rangkuman penglibatannya dalam bidang seni selama lebih 30 tahun.

Jelasnya, karya kali ini amat berbeza dengan hasil karya terdahulu.

“Jika dahulu saya gemar menggunakan campuran warna terang dalam setiap hasil karya, namun kali ini ia lebih lembut dan gelap warnanya.

“Ia menjadi satu simbolik bahawa cita rasa kita sebagai manusia sentiasa berubah mengikut kematangan seseorang,” katanya.

Antara karya Fauzin yang menarik ialah karya yang berjudul Black on Black.

“Karya ini, menggambarkan tentang permulaan hidup dan pengakhiran manusia yang muncul dan berakhir dalam gelap.

“Kita lahir dari perut yang gelap dan hidup kita akan berakhir dalam tanah yang juga gelap,” jelasnya.

 

Ditulis oleh: Farid Ahmad Tarmiji

Diterbitkan oleh: K2, Kosmo!

Tarikh Terbitan: 23hb Januari 2017

 


Comments are closed.