Simbolik Detik Kehidupan

Karya terbaru Fauzin berkait rapat dengan keadaan dilalui seharian

 

Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis terkemuka Fauzin Mustafa antara pengalaman menarik. Ini kerana setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran seakan-akan ‘hidup’.

Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai ekstetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh.

Fauzin menampilkan 16 karya terbarunya dalam pameran solo diberi nama ‘Life Between the Dots’ yang kini berlangsung hingga 28 Februari di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor.

Hampir 30 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.

“Secara peribadi, karya untuk pameran kali ini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni saya sejak tahun 1987 hingga kini.

“Kematangan itu bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari segi penghasilan karya itu sendiri,” katanya.

Terkenal dengan lukisan campuran media dan kolaj, Fauzin berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.

“Jika dilihat pada karya kali ini saya masih mengekalkan identiti iaitu kolaj dan campuran media cuma proses kematangan itu ditampilkan dengan mengurangkan elemen di atas kanvas.

“Sebelum ini saya banyak ketengahkan warna-warni selain gemar bereksperimen dengan bahan kitar semula serta bahan semula jadi seperti daun sebagai elemen dalam karya saya,” katanya.

Mengambil masa dua tahun setengah untuk menyiapkan semua karya, Fauzin berkata karya terbarunya itu juga berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia.

“Tidak semua yang kita lalui dalam hidup ini dibawa selamanya kerana kita akan buat pilihan dan tinggalkan perkara tidak perlu. Falsafah ini yang saya ketengahkan dalan penghasilan karya kali ini.

“Nama pameran itu sendiri mengetengahkan ‘dot’ iaitu titik kerana ia melambangkan permulaan tidak kira apa yang kita lakukan sama ada melukis atau menulis semuanya bermula dengan titik.

“Titik itu juga simbolik kepada permulaan atau detik dalam kehidupan yang bersambung mengikut waktu sementara warna emas pula lambang warna ketimuran namun dari sudut falsafah ia simbolik kepada keaslian,” katanya.

Penggemar seni yang ingin melihat dan menghayati karya Fauzin boleh kunjungi Galeri Core Design yang dibuka pada jam 10 pagi hingga 7 malam.

Sebarang maklumat lanjut layari laman web www.coredesigngallery.com.

 

 

Ditulis oleh: Nor Hanisah Kamaruzaman

Terbitan: Nuansa – Harian Metro

Tarikh Terbitan: 03hb Februari 2017

 


Comments are closed.