Inspirasi asal usul manusia

‘Much Ado About Drawing’ menjadi tajuk pameran seni secara kumpulan oleh Galeri Core Design pada kali ini.

‘Drawing’ atau lakaran adalah satu bentuk visual komunikasi. Sebagai bentuk visual komunikasi yang terawal, lakaran boleh menggambarkan satu proses, karya seni atau dokumentasi.

Menampilkan 10 artis berpengalaman dengan pilihan genre masing-masing dan penggunaan medium seperti media campuran, artis berkenaan memberi penjelasan terhadap kandungan seni lakaran.

Melalui proses kuratorial ini, seni lakaran didapati amat penting dalam menampakkan kepentingan dan kebolehan melukis bagi menghasilkan satu karya seni yang menakjubkan.

PENGUNJUNG menghayati karya artis.

Artis yang terbabit dalam pameran itu ialah Fauzin Mustafa, Faizal Suhif, Haafiz Shahimi, Haslin Ismail, Husin Othman, Husin Hourmain, Khairul Izham, Masnoor Ramli Mahmud, Mohd Bakir Baharom dan Mohd Ak-Khuzairie.

Hafiz Shahimi antara artis yang menghasilkan lukisan unik dan menarik menerusi teknik pembakaran menggunakan bahan kimia bagi mendapatkan warna karat terhadap karyanya bergenre media campuran itu.

Penulis sendiri terpukau dengan hasil seni Hafiz kerana ketika melihat dari jauh lukisannya seakan-akan kulit haiwan sedangkan ia adalah kanvas yang dibakar secara semburan.

Katanya, dua karya dihasilkan dalam pameran itu bertajuk ‘The Holy Descendents’ dan ‘Lust for Eden’ adalah inspirasi asal usul kejadian manusia yang bermula daripada Nabi Adam dan Hawa.

“Setiap agama di dunia ini mempunyai kepercayaan yang sama iaitu manusia berasal daripada Nabi Adam dan Hawa.

“Tetapi sebelum Allah menciptakan manusia, malaikat ada bertanya kepada Allah mengapa mahu mencipta manusia kerana mereka (manusia) akan melakukan kebinasaan,” katanya kepada Nuansa.

Bagaimanapun, pandangan malaikat berubah setelah Allah menciptakan manusia dan mendapati ia adalah sebaik-baik ciptaan.

ANTARA karya lain dipamerkan.

“Serpihan potret dan daun terbakar pada karya bertajuk ‘The Holy Descendents’ menunjukkan kebinasaan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, manakala lukisan kedua bertajuk ‘Lust for Eden’ pula menjelaskan mengenai godaan yang membelenggu manusia yang digambarkan dengan imej ular dan buah khuldi.

Katanya lagi, manusia perlu mempunyai iman yang kukuh sebagai benteng penghalang daripada terjerumus dalam kesesatan.

Orang ramai boleh menghayati keindahan hasil seni artis terbabit dengan mengunjungi Galeri Core Design di 87, Jalan SS15/2A Subang Jaya.

PAMERAN MUCH ADO ABOUT DRAWING

• ARTIS: 10

• KARYA: 15

• TARIKH: 18 September hingga 19 Oktober 2017

• MASA: Isnin hingga Jumaat (11 pagi hingga 7 malam) Sabtu dan Ahad (12 tengah hari hingga 6 petang)

• ALAMAT: Galeri Core Design di 87, Jalan SS15/2A Subang Jaya.

• TELEFON: 03-56121168

• LAMAN WEB: http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com

 

 

Diterbitkan oleh: Harian Metro

Ditulis oleh: Nor Asyikin Mat Hayin

Tarikh Terbitan: 11hb Oktober 2017

Sumber: https://www.hmetro.com.my/nuansa/2017/10/271984/inspirasi-asal-usul-manusia

 


Comments are closed.