Singkap makna sebuah lukisan

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, lukisan bermaksud sesuatu yang dilukis atau keterangan menggambarkan sesuatu perkara.

Ada juga yang menyatakan, lukisan adalah aktiviti melukis menggunakan bahan kering atau basah untuk mendapatkan kesan rupa dan bentuk pada sesuatu permukaan.

Lukisan juga boleh dikaitkan dengan pengalaman yang istimewa kepada seseorang pelukis yang digambarkan melalui gerak minda dan hati yang diterjemahkan di atas permukaan untuk dijadikan sebagai bahan dokumentasi.

Apa yang pasti, lukisan mempunyai skop yang cukup luas sebagai satu bentuk komunikasi visual. Bagi menyingkap makna lukisan, Galeri Core Design telah menganjurkan satu pameran seni bertajuk, Much Ado About Drawing yang berlangsung hingga 19 Oktober ini.

 

Imej

Pameran itu disertai seramai 10 artis tempatan yang mempamerkan pelbagai genre seperti media campuran, seramik, seni cetak, cat dan kaligrafi.

Kurator pameran, Scarlet Lee berkata, pameran itu bertujuan mengubah persepsi umum terhadap makna sesebuah lukisan.

“Lukisan tidak sepatutnya dilihat pada luaran sahaja kerana lukisan sama ada lakaran tangan adalah proses permindahan imej yang difahami oleh artis.

“Proses lukisan juga boleh menjadi salah satu saluran untuk artis menterjemahkan konsep dan idea awal kepada visual akhir yang diingini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di galeri itu di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Scarlet, menerusi pameran itu, pengunjung boleh melihat konsep lukisan dalam bentuk berbeza tanpa menggunakan kaedah konvensional seperti kertas, pen atau pensel semata-mata.

“Pada pameran ini, kami memberi kebebasan kepada artis untuk menginterpretasikan proses lukisan mengikut pemahaman masing-masing.

“Misalnya, dalam pameran ini ada artis yang menghasilkan seramik, melukis di atas plat aluminium dan sebagainya yang akhirnya menjadi satu karya seni yang menakjubkan,” ujarnya.

 

Watak bayi

Sementara itu, seorang artist Mohd Al-Khuzairie Ali, 33, berkata, dia menghasilkan karya bertajuk Addicted yang menggabungkan seni seramik dan kerangka kayu.

Katanya, terdapat lima arca seramik berbentuk bayi yang dihasilkan berkisar kepada pandangannya terhadap gaya hidup masyarakat pada masa ini yang cenderung ke arah kebendaan dan kemewahan.

“Saya sengaja cipta watak bayi dalam karya ini kerana mereka ibarat kain putih yang kehidupannya dicorakkan oleh golongan dewasa.

“Secara sinisnya, jika dari kecil kita sudah didedahkan dengan benda-benda mewah seperti gajet, tidak mustahil tabiat itu akan sebati dalam diri anak-anak kita pada masa hadapan,” katanya.

Bagi seorang lagi artis, Mohd. Khairul Izham Md. Rashid, 32, dia mempertaruhkan dua karya pada pameran itu iaitu Self-Portrait dan Capsule.

Self Portrait merupakan koleksi lakaran saya sejak tahun 2013 hingga sekarang. Ia merupakan ekspresi saya terhadap tema yang diketengahkan pada pameran ini.

“Sementara itu, Capsule pula lebih berunsurkan abstrak yang merupakan manifestasi saya terhadap landskap dan alam semula jadi,” kayanya.

 

 

Diterbitkan Oleh: K2 Kosmo!

Tarikh terbitan: 16hb Oktober 2017

 


Comments are closed.